Aku Sebiji Bola!

6:25 PM 8 Comments

Sorry la agak bz sket skrg ni..nk raya la katakan..xsempat nk kemana2..semalam aku beli majalah theMANisU..so terbaca la satu karangan ada sorang mamat ni anta..menceritakan kehidupan sebiji bola..klau rajin baca la ye..

Beachball!

Aku sebiji bola. Keturunan aku berasal dari sebuah negara Asia Tenggara
bernama Malaysia. Moyang aku sebatang pokok getah yang menetap di Felda
Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan.

Tidak banyak yang aku tahu tentang tempat asal-usulku. Sebab ketika masih
berstatus getah keping aku telah dihantar ke England. Yang aku tahu, di
Malaysia sana ramai penduduknya yang berjiwa Scouser walaupun secara
zahirnya mereka makan tempoyak dan budu. Kebanyakan dari mereka ini tidak
pernah menjejakkan kaki ke Liverpool.

Bukan macam aku. Ketika umur masih getah sekeping aku telah menjejakkan
kaki di Liverpool. Kapal yang aku naik dari Pelabuhan Klang selama beberapa
bulan akhirnya tiba di Pelabuhan Liverpool. Alhamdulillah, sepanjang
perjalanan kami tidak dirampok oleh lanun-lanun Somalia.

Dari pelabuhan aku telah dibawa ke sebuah kilang di pinggir kota Liverpool.
Di sana aku telah dicairkan, dilenyek dan diacu bersama rakan-rakan getah
keping yang lain. Dari satu mesin aku masuk ke mesin yang lain. Kami
diberikan pewarna merah yang menyala. Aku suka.

Selang beberapa jam, akhirnya aku dan rakan-rakan yang lain telah berubah
bentuk dari sekeping getah ke sebiji sfera bulat yang dinamakan bola. Warna
kami semua merah menyala. Kalau ikut orang Cina, memang manyak ong!

Seminggu duduk di dalam gudang, aku dan rakan-rakan lain akhirnya menerima
kunjungan tetamu. Dua orang Yank bernama Tom Hicks dan George Gillett
datang untuk membeli aku dan rakan-rakan. Tapi mengikut pesan Yank berdua
itu, sebelum dibeli mereka mahu kami semua dicopkan dengan lambang seekor
burung dengan perkataan 'You'll Never Walk Alone' di atasnya.

Aku kurang arif apa motif lambang tersebut. Mungkin satu pertubuhan ajaran
sesat barangkali? Persatuan memuja burung kot? Tapi walau apa pun yang
pasti aku suka dengan lambang baru yang dicop ke atas badan aku yang
berbentuk sfera ini.

Selepas dicop, kami disimpan kembali ke dalam gudang hinggalah tiba hari
yang dinantikan. Ya, di pagi Sabtu yang dingin bertarikh 17 Oktober 2009,
aku bersama rakan-rakan yang lain telah dibawa keluar dari gudang untuk
menaiki sebuah van. Kami meninggalkan kota Liverpool menuju ke destinasi
kami yang baru, Sunderland.

Sebetulnya aku kurang pasti tujuan lawatan kami ke sana. Adakah lawatan
sambil belajar? Atau lawatan sempena rumah terbuka Deepavali? Di dalam
perjalanan aku tertanya-tanya. Seronok tapi berdebar-debar pun ada.

Selang beberapa jam perjalanan, aku akhirnya tiba di sebuah bangunan yang
bernama Stadium of Light. Akhirnya baru aku tahu tujuan sebenar lawatan
ini. Aku bakal dijadikan bola untuk satu perlawanan bolasepak.

Gembiranya rasa hati, Tuhan saja yang tahu.

Bersama rakan-rakan yang lain, kami dibawa masuk ke dalam stadium. Tapi
harapan aku untuk dijadikan bola perlawanan dan disepak terajang oleh 22
lelaki di atas padang terbantut. Aku tidak dimasukkan ke dalam padang,
sebaliknya di letak di satu bahagian stadium yang dikhususkan untuk
Scousers dari Liverpool.

Apa barang? Jatuhlah status aku sebagai sebiji bola yang berwarna merah dan
bercopkan seekor burung dengan kata hikmah 'You'll Never Walk Alone'.

Jiwa aku sedikit kacau. Sedih bercampur hiba. Hajat di hati mahu jadi
bolasepak tapi rupa-rupanya taraf aku hanyalah sekadar bola suka-suka,
dilambung-lambung, ditepuk-tepuk dan dilonjak-lonjak oleh sekumpulan
Scousers yang mabuk Carlsberg. Aku pasrah.

Tapi bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah bola pastinya warna
merah menyala. Sedang aku dilambung-lambung akhirnya aku jatuh ke tangan
seorang budak lelaki Scouser yang sangat teruja. Aku bajet, budak seekor
ini baru kali pertama menjejakkan kaki di stadium.

Aku kenyit mata dan berikan satu bisikan jahat kepada budak Scouser ini.
Aku suruh dia campak aku masuk ke dalam padang. Budak Scouser yang *****
ini akur dengan hasutan jahat aku. Rilek-rilek dia lambung aku masuk ke
dalam padang.

Wah, aku teruja. Tiba-tiba aku sudah berada di dalam padang. Betul-betul
depan seorang mamat berbaju kuning yang kepalanya botak dan bulat. Kepala
dia sebiji bentuknya macam aku. Nama dia Pepe Reina rasanya.

Aku senyum kat Pepe Reina. Dia buat tidak endah. Sombong. Baghal. Tapi aku
buat dek. Orang tak suka, aku pun tak sudi.

Sedang aku meloncat-loncat seronok di depan Reina itu, tiba-tiba aku nampak
kelibat seorang lelaki berkulit hitam dengan sebiji bola putih di kakinya.
Ada kawan! Aku teruja.

Bola putih yang bernama Nike T90 Ascente itu terbang menuju ke arahku.
Mungkin dia pun seronok jumpa kawan di tengah padang. Kami berdua tersenyum
dari jauh. Semakin lama dia semakin hampir. Laju pula terbangannya.
Tiba-tiba aku gelabah, mamat ni takde brek ke?

Kami bertembung. Bola putih itu terbang ke bahagian kiri mamat botak
bernama Reina sementara aku pula terbang ke bahagian kanan.

Kawan baru aku, si bola putih itu, terus masuk ke dalam gawang gol. Aku
pula kerana sedikit gemuk tetapi ringan terbang perlahan-lahan ke luar
padang. Tapi sebelum jatuh di luar padang aku sempat jeling pada mamat
botak bernama Reina itu. Dia renung ke arah aku, bukan bola putih.

Hehe, walaupun gemuk tapi warna merah menyala aku tetap menjadi daya
penarik. Bukan setakat Reina, malah lensa kamera DSLR dan juga kamera
televisyen semua fokus kepada aku. Berbilion penduduk dunia menyaksikan aku
secara langsung. Dari United Kingdom hinggalah ke Felda Bukit Rokan,
Gemencheh, Negeri Sembilan, Malaysia.

Esoknya, gambar aku termpampang di dada-dada akhbar seluruh dunia. Dari
mamat mabuk Carslberg yang kecewa di sebuah pub di kota Liverpool hinggalah
ke pengadil-pengadil EPL yang diiktiraf FIFA, semua orang bercakap pasal
aku. Dalam sekelip mata, aku jadi terkenal.

Akhirnya, barulah aku faham maksud tersirat kata-kata yang tertera di atas
badan bulat aku ini. Ya, aku kini tidak lagi keseorangan, seluruh dunia
sudah kenal siapa aku.

'You'll Never Walk Alone'. Aku percaya. Aku ialah sebiji bola. Yang tidak
lagi keseorangan.
(894 patah perkataan)

8 comments:

  1. autobiografi! zaman sekolah rendah selalu tulis karangan macam ni.. (^_^)

    ReplyDelete
  2. aku pn lupa ape jenis nama karangan ni sbenarnya..ye ke autobiografi?

    ReplyDelete
  3. isi-20
    kefahaman-30
    isi tersurat-25
    tatabahasa-25

    Tahniah perfect score hehehe

    Salam Aidiladha sohabat...

    ReplyDelete
  4. hehehe..tahniah kt pembuat karangan ni..kekeke..sungguh pedas dan bercili..selamat hari raya gak bro..

    ReplyDelete
  5. karangan mase skolah rendah dulu...
    suke wat karangan mcm ni...
    sbb bole berimaginasi... heee~~

    salam aidil adha...

    ReplyDelete
  6. hehe..seingat aku..aku blaja karangan ni masa darjah 4..

    ReplyDelete
  7. fuh..gigih ku baca..


    err, sy peminat man u..huhu

    nwayy, slamat hr ray aidiladha

    ReplyDelete